Parkour jadi disiplin gimnastik baharu di Asia Tenggara?

Bernama
Februari 24, 2023 11:41 MYT
Penyertaan parkour akan menyaksikan gimnastik mempunyai empat disiplin dalam kejohanan di rantau ini yang turut merangkumi persembahan artistik, irama dan aerobik sedia ada.- Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Adakah parkour akan menjadi satu daripada disiplin gimnastik baharu di Asia Tenggara dalam masa terdekat?
Nampaknya acara larian jalanan ala-ala rintangan itu boleh membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan itu mahupun permainan pelbagai sukan di rantau ini selepas parkour adalah antara topik yang dibangkitkan dalam pertemuan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dengan Presiden Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Morinari Watanabe pada Isnin lalu.
Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril memberitahu Bernama bahawa Watanabe juga telah mencadangkan idea untuk menganjurkan jelajah di Indonesia, Singapura, Malaysia, Kemboja, Laos dan Vietnam untuk mempromosikan parkour pada Ogos ini.
"Lawatan itu akan merangkumi aktiviti dan pertandingan yang menyeronokkan untuk mempromosikan parkour kepada orang ramai," katanya.
Afrita berpendapat bahawa parkour akan menjadi peluang yang baik untuk atlet gimnas memgembangkan kerjaya mereka dalam sukan.
"Parkour lebih mudah dan latihannya lebih pendek berbanding gimnastik artistik atau berirama.
"Sekurang-kurangnya mereka yang berapa bagus dalam bidang seni atau berirama boleh mempertimbangkan untuk mengembangkan semula kerjaya mereka dalam parkour," katanya.
Penyertaan parkour akan menyaksikan gimnastik mempunyai empat disiplin dalam kejohanan di rantau ini yang turut merangkumi persembahan artistik, irama dan aerobik sedia ada.
Dalam pada itu, Afrita berkata mesyuarat itu juga membincangkan rancangan untuk terus mengembangkan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.
Selain mesyuarat itu, bekas gimnas negara itu berkata Watanabe turut meluangkan masa untuk mengejutkan gimnas negara semasa menjalani sesi latihan di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.
-- BERNAMA
#parkour #gimnastik #Morinari Watanabe #Persekutuan Gimnastik
;