Paris 2024: Tang Jie-Ee Wei gegarkan Porte de La Chapelle

Bernama
Julai 29, 2024 16:52 MYT
Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika beraksi menentang beregu campuran China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle hari ini. -Bernama
PARIS: Kem badminton negara melakar satu lagi kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila gandingan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei berjaya menjinakkan pasangan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China pagi ini.
Pertarungan selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia meraih kemenangan menakjubkan 17-21, 21-15, 21-16 untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D.
Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar venue pertandingan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.
Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan dan hanya akan diketahui dalam undian esok, selepas kesemua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.
Naib juara Terbuka Switzerland dan Masters Thailand itu memulakan kempen pada Sabtu menewaskan pasangan Singapura Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil Amerika Syarikat 21-15, 24-22.
Semalam, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah mengejutkan beregu nombor enam dunia dan bekas juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 18-21, 21-15, 21-16 dalam aksi Kumpulan A untuk menghidupkan peluang mereka ke suku akhir.
Mengenai kemenangan hari ini, Ee Wei berkata keberanian mereka untuk lawan secara berhabis-habisan menentang Yan Zhe-Dong Ping tanpa mempedulikan status juara bertahan seteru mereka itu, berjaya mengubah keputusan 'atas kertas' hari ini.
"Sebagai juara bertahan, permainan mereka sangat baik dan menyukarkan kami. Tapi kunci kejayaan kami adalah percaya satu sama lain dan komunikasi yang baik dalam gelanggang, kita tahu apa perlu dilakukan.
"Mereka beregu utama dunia dan mempunyai kualiti permainan sangat bagus. Tapi kali hari ini, kita tidak terlalu ikutkan perasaan apabila ketinggalan seperti dulu, kita lawan balik dengan mereka," katanya.
Dong Ping merangkul pingat emas di Tokyo 2020 bersama gandingannya ketika itu Wang Yi Lyu, yang mengumumkan persaraan tahun lepas kerana kecederaan.
Sementara itu, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu teruja dengan kemenangan hari ini tetapi mahu meneruskan momentum kemenangan mereka di peringkat suku akhir, kelak.
"Pada perlawanan hari ini, kita cuba cari bagaimana cara untuk mengatasi kehebatan mereka, dan strategi kita berjalan lancar hingga menang. Kita akan gunakan sehari rehat esok untuk pemulihan dan mempersiapkan diri untuk perlawanan suku akhir nanti," katanya.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #badminton #Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei #Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping
;