Paris 2024: Pasangan renang Brazil cetus kontroversi, dibuang daripada senarai bertanding

Astro Arena
Julai 30, 2024 05:05 MYT
Sebelum Sukan Olimpik Paris bermula, Vieira memuat naik gambarnya dan Santos ke media sosial di hadapan Menara Eiffel. - Foto Astro ARENA
SKUAD renang Brazil berdepan isu tatatertib selepas Ana Carolina Vieira dan Gabriel Santos disingkirkan daripada senarai bertanding acara renang Sukan Olimpik Paris.
Keputusan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) muktamad susulan daripada perbuatan dua atlet itu yang 'mencuri-curi keluar' ke bandar Paris ketika waktu malam.
Meskipun Santos sudah membuat permohonan maaf atas tindakan melanggar protokol namun Vieira bertindak biadap dan agresif mempersoalkan keputusan teknikal yang diambil oleh jawatankuasa Pasukan Renang Brazil.
Kedua perenang acara 4x100 meter gaya bebas itu dihukum dengan penyingkiran nama daripada delegasi dan akan dihantar kembali ke Brazil dengan segera.
"Kami di sini datang bukan untuk bermain atau bercuti, tapi kami datang untuk berkhidmat kepada 200 juta rakyat Brazil yang membayar cukai untuk kami," tegas Ketua Pasukan Renang Brazil, Gustavo Otsuka.
Terdahulu, Vieira memuat naik gambarnya dan Santos ke media sosial di hadapan Menara Eiffel sebelum temasya bermula.
#atlet langgar protokol #Sukan Olimpik Paris 2024 #IOC #perenang Brazil