Paris 2024: Nur Syaiful duduki tempat keenam

Bernama
September 2, 2024 05:50 MYT
Nur Syaiful akan kembali buat kali terakhir di kolam renang pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi acara 50m gaya bebas lelaki S5 pada Khamis. - Gambar fail/BERNAMA
PARIS: Perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak berjaya menjelmakan kilauan pingat dalam acara kegemarannya iaitu 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, semalam.
Nur Syaiful yang beraksi selaku pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 sekadar menduduki tempat keenam dengan catatan masa 1 minit 46.71 saat (s) di Paris La Defense Arena.
Dmitrii Cherniaev daripada Atlet Paralimpik Neutral merangkul emas dengan catatan 1:32.20s meninggalkan pencabar terdekatanya dari Greece Antonios Tsapatakis (1:36.16s) untuk pingat perak dan perenang Itali Manuel Mateo Bortuzzo terpaksa berpuas hati dengan gangsa (1:42.52s).
Saringan pagi semalam pula menyaksikan Nur Syaiful mencatat masa 1:45.15s yang merupakan catatan peribadi terbaiknya dengan mengatasi rekod temasya Hangzhou 2022 iaitu 1:46.78s.
Keputusan tersebut membawanya menduduki tempat ketiga pada saringan pertama dan berada pada kedudukan kelima daripada lapan perenang terbaik yang mara ke peringkat akhir.
Ini penampilan kedua final buat perenang Sarawak di pentas final Paris 2024 selepas menamatkan cabaran di tangga keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan 1:16.60s.
Atlet berusia 29 tahun itu akan kembali buat kali terakhir di kolam renang di sini menerusi acara 50m gaya bebas lelaki S5 pada Khamis ini.
-- BERNAMA
#Sukan Paralimpik Paris 2024 #perenang negara #Muhammad Nur Syaiful Zulkafli #atlet para
;