Paris 2024: Nadal-Alcaraz terus nyalakan impian emas
Astro Arena
Julai 31, 2024 11:40 MYT
Julai 31, 2024 11:40 MYT
RAFAEL Nadal dan Carlos Alcaraz melepasi ranjau dalam usaha mengekalkan pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mara ke suku akhir, awal pagi tadi.
Duo Sepanyol itu diasak habis-habisan oleh gandingan Belanda tersebut, Tallon Griekspoor dan Wesley Koolhof, sebelum merakamkan kemenangan 6-4, 6-6 (2-7), 10-2 di Court Suzanne-Lenglen.
Nadal yang tersingkir daripada acara perseorangan berikutan kekalahan kepada Novak Djokovic pantas mengetepikan kekecewaan itu apabila memulakan pertarungan berkenaan dengan mengagumkan apabila saling bertukar rali.
Tetapi break dalam game ketujuh untuk Sepanyol membantu mereka mendominasi set pertama sebelum servis Alcaraz memastikan kelebihan awal.
Bagaimanapun, Griekspoor dan Koolhof bertindak balas apabila menguasai tiebreak set kedua, secara tidak langsung mengheret pertemuan mereka itu ke babak yang lebih menarik.
Begitupun, Nadal dan Alcaraz terus meniti kemenangan dengan mengungguli set penentu sebaik Griekspoor membalas servis Alcaraz ke jaring.
Gandingan Sepanyol yang bertaraf bintang itu akan berdepan pilihan keempat dari Amerika Syarikat (AS), Rajeev Ram dan Austin Krajicek, di peringkat seterusnya.