Paris 2024: Johnathan terkandas di pusingan kelayakan 10m air pistol

Bernama
Julai 27, 2024 11:00 MYT
Johnathan Wong menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-26 dari 33 penembak selepas mengumpul 570 mata. - Gambar fail
PARIS: Hasrat penembak negara Johnathan Wong untuk mara ke pusingan akhir acara 10 meter (m) air pistol lelaki di temasya Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Menembak Chateauroux, atlet berusia 31 tahun itu menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-26 dari 33 penembak selepas mengumpul 570 mata.
Atlet Serbia Damir Mikec mengungguli pusingan kelayakan selepas meraih 584 mata.
Mengikut format pertandingan hanya lapan penembak terbaik sahaja akan bersaing di pusingan akhir yang berlangsung esok.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua beliau di temasya Olimpik selepas Rio 2016 apabila mendapat tempat ke-28 dalam acara 10m air pistol dan ke-37 dalam acara 50m pistol.
Dalam pada itu Johnathan mengakui kecewa kerana gagal membidik lebih tepat hari ini.
"Kalau tengok pemarkahan (scoring) agak kurang memuaskan sebab sebenarnya sebelum datang ke sini kami sasarkan (mata) lebih tinggi.
"Apa pun kita sudah buat persiapan yang terbaik berbanding sebelum ini (edisi Rio 2016)," katanya selepas pusingan kelayakan.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #air pistol #johnathan wong #Kandas