Paris 2024: Cabaran kem memanah berakhir

Bernama
Ogos 1, 2024 06:10 MYT
Nurul Azreena ketika beraksi dalam acara memanah individu wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Esplanade Des Invalides, Paris, 1 Ogos 2024. -- fotoBERNAMA
PARIS: Cabaran pemanah wanita negara di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir selepas Nurul Azreena Mohamad Fazil terbukti belum mampu memberi saingan kepada pemanah handalan dunia apabila ditunjukkan jalan keluar pada pusingan penyingkiran 1/32 di sini semalam.
Aksi di Invalides yang ditunda daripada Rabu kerana cuaca buruk menyaksikan Nurul Azreena tewas 0-6 kepada pemanah Turkiye Elif Berra Gokkir.
Atlet berusia 20 tahun itu memulakan set pertama dengan kekalahan 27-29 mata sebelum dihantui rasa gementar pada set seterusnya yang beliau tewas 22-27 dan 25-27.
Wakil Turkiye itu bakal mencabar Mobina Fallah dari Iran pada perebutan slot ke pusingan 16 terakhir.
Kecewa dengan prestasi hambar, Nurul Azreena berkata beliau percaya boleh menampilkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.
Malaysia membariskan tiga pemanah dengan hanya Syaqiera Mashayikh mara ke pusingan kedua atau penyingkiran 1/16 selepas menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan penyingkiran 1/32 dua hari lepas, namun tunduk 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil selepas 'shoot-off'.
Pada Rabu, pemanah muda Ariana Nur Diana Mohamad Zairi, 19, memberikan saingan sengit kepada juara dunia 2022 Chiara Rebagliati dari Itali sebelum tewas 5-6 melalui 'shoot-off' pada satu lagi aksi penyingkiran 1/32.
Bagi acara berpasukan wanita, trio negara tunduk 3-5 kepada Indonesia pada Ahad lepas.
Sementara itu, jurulatih merangkap Pengarah Teknikal skuad memanah negara, Lee Jae Hyung mengakui prestasi pemanah negara masih jauh berbanding pemanah terbaik dunia selain kekurangan persiapan bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu.
Menurutnya pemanah negara perlu banyak meningkatkan diri daripada segala aspek seperti kemahiran, latihan dan pengalaman dalam kejohanan.
"Selepas ini kita perlu persiapkan pasukan untuk menghadapi Sukan SEA Thailand tahun depan. Dari situ perlu meningkatkan prestasi sehingga ke tahap Asia dan Olimpik," kata jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang fasih Bahasa Malaysia.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Nurul Azreena Mohamad Fazil #Lee Jae Hyung #pemanah negara
;