Paris 2024: Beasley elak latihan berlebihan

Bernama
Mei 15, 2024 11:40 MYT
Azizulhasni tidak dibebankan dengan latihan berlebihan demi memastikan beliau berada di tahap terbaik apabila muncul di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines kelak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kebanyakan atlet ketika ini meningkatkan rejim latihan mereka menjelang Sukan Olimpik paris 2024 namun ia berbeza buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley sebaliknya memilih untuk tidak membebankan pelumba berusia 36 tahun itu dengan latihan berlebihan demi memastikan Mohd Azizulhasni berada tahap terbaik apabila muncul di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines kelak.
"Sejujurnya, persiapan kami ke Paris berada pada landasan yang tepat, satu-satunya perkara perlu diberikan perhatian teliti adalah kesihatan beliau.
"Ya, kami sentiasa bekerja keras walaupun kami tidak meningkatkan latihan seperti yang pernah kita lakukan, dan itu adalah 'kunci' kerana jika saya boleh pastikan beliau sihat, beliau akan beraksi dengan baik di Paris," katanya kepada Bernama.
The Pocket Rocketman bertekad untuk menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Paris 2024 pada penampilan kelimanya di pentas Olimpik yang merupakan penampilan terakhirnya di temasya berprestij dunia itu.
Mohd Azizulhasni meraih pinga perak dan gangsa dalam acara keirin masing-masing pada temasya di Tokyo 2020 dan Rio 2016.
Pada 2022, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronasi kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, di Melbourne, Australia.
Sementara itu, Beasley gembira dengan prestasi anak buahnya pada siri Piala Trek Jepun di Velodrom Izu, Shizuoka minggu lepas yang membawa pulang dua pingat gangsa dalam acara pecut dan keirin.
"Kita dapat apa yang dimahukan, 10 perlumbaan pada hari pertama, lapan hari kedua dan tiga pada hari ketiga.
"Perlumbaan itu semuanya standard tinggi, jadi saya cukup gembira dengan persiapan buat masa ini. Saya tidak terkejut apabila bercakap mengenai Azizulhasni kerana beliau sentiasa mencari jalan untuk berada di podium," katanya.
Justeru, Beasley percaya juara dunia keirin 2017 itu akan berada pada tahap terbaik dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impiannya di Sukan Olimpik.
Sementara itu, jurulatih kelahiran Australia itu memaklumkan Mohd Azizulhasni kemungkinan akan menyertai satu kejohanan terakhir di Belgium pada penghujung Jun ini sebelum ke Paris 2024.
Beliau bercadang untuk menyenaraikan Mohd Azizulhasni dalam acara pecut sahaja bagi mengelakkan sebarang kemungkinan menjelang Olimpik Paris.
"Dalam acara pecut, perlumbaan antara dua pelumba dalam trek dan kita boleh membaiki teknik tanpa meletakkan beliau dalam sebarang situasi berbahaya," katanya.
Selain Mohd Azizulhasni, dua lagi pelumba kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pelumba wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menempaj slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Temasya Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #Beasly #Paris 2024 #Olimpik
;