Paris 2024: Aaron-Wooi Yik diundi bersama gandingan utama dunia

Bernama
Julai 15, 2024 20:26 MYT
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy dari England dan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan acara badminton di Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Berdasarkan undian hari ini, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy dari England dan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura.
Pasangan China dijangka menjadi halangan terbesar gandingan negara berdasarkan rekod pertemuan yang berpihak kepada Wei Keng-Wang Chang, manakala laluan lebih mudah jika Aaron-Wooi Yik berjaya mengetepikan Lane-Vendy dan Adam-Yakura.
Rekod pertemuan dengan Lane-Vendy menyaksikan beregu negara menang empat kali daripada lima pertemuan dengan Lane-Veny yang menghuni ranking ke-32 dunia.
Juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pula diundi dalam Kumpulan B bersama wakil tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren (Thailand) dan Ondrej Kral-Adam Mendrek (Republik Czech).
Pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula bakal berdepan saingan sengit pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.
Sementara itu, laluan berliku menanti pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin dalam misi mempertahankan pingat emas apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun) dan Vinson Chiu-Joshua Yuan (Amerika Syarikat).
Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan mengesahkan gandingan Corvee-Labar berada dalam senarai 17 beregu lelaki bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
"Ini adalah hasil keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengarahkan BWF meminta Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menambah Corvee-Labar ke Sukan Olimpik," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, BWF terpaksa menangguhkan undian bagi beregu lelaki pada Jumaat lepas yang sepatutnya berlangsung bersama undian bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu wanita dan campuran.
Bagi acara beregu, dua pasangan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.
Badminton membuka tirai di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 4 Ogos ini.
Sementara itu, Aaron dan Wooi Yik menerima dengan hati terbuka keputusan undian selain sedia mempamerkan aksi terbaik pada saingan badminton di Paris.
"Sekarang kita dah nampak undian berdepan dengan siapa jadi sudah nampak arah untuk persiapan nanti. Kami akan fokus dengan perlawanan pembukaan dan lakukan terbaik," katanya menerusi rakaman audio dikongsikan kepada pemberita hari ini.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #saingan sengit #suku akhir #acara perseorangan
;