Paris 2024: Aaron-Wooi Yik berjaya elak 'dimalukan' beregu Great Britain
Bernama
Julai 27, 2024 20:45 MYT
Julai 27, 2024 20:45 MYT
PARIS: Sorak-sorai penyokong bergema apabila beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengelak kekalahan awal pada Sukan Olimpik Paris 2024 ketika menentang Ben Lane-Sean Vendy dari Great Britain dalam perlawanan Kumpulan A, hari ini.
Aaron-Wooi Yik selaku beregu nombor empat dunia bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan beregu nombor 18 dunia itu, 19-21, 21-16, 21-11, di Porte de La Chapelle Arena yang padat penonton.
Wooi Yik berkata mereka berjaya meraih kejayaan itu dengan terus saling menyokong dan menguatkan semangat masing-masing sepanjang 72 minit permainan.
"Agak bergelut dalam set pertama tadi, pertemuan terakhir (menentang Lane-Vendy) pun mereka menang. Agak tegang ketika itu. (Dalam perlawanan tadi) kami cuba untuk kutip mata demi mata, cuba untuk tidak beri mata mudah kepada mereka. Dari sana kami perbaiki permainan dan saling beri semangat untuk cipta kejayaan.
"Sokongan kuat daripada penonton turut memberi motivasi buat kami untuk kejar balik ketika ketinggalan tadi. Kami ke Tokyo sebagai beregu bukan pilihan dan berjaya menewaskan beberapa beregu pilihan, kami mahu mengekalkan 'label' yang sama di sini," katanya selepas perlawanan.
Aaron-Wooi memenangi empat daripada lima pertemuan menentang Lane-Vendy sebelum tewas pada pertemuan terakhir mereka pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.
Selepas merangkul gangsa pada Olimpik Tokyo 2020, Aaron-Wooi menjuarai Kejohanan Dunia 2022 juga di Tokyo, sekali gus menjadikan pasangan itu antara yang disebut-disebut bakal menyumbang emas Olimpik pertama negara.
Aaron mengakui harapan besar itu memberi tekanan kepada mereka.
"Tekanan itu memang ada, saya rasa itu memang biasa, tapi kita sendiri kena tenangkan diri dan main seperti biasa, (anggap sebagai) bukan pilihan dan nikmati permainan," katanya.
Beliau menambah mereka sentiasa mendapatkan nasihat pakar psikologi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Frederick Tan untuk menangani tekanan.
Esok, gandingan itu akan bertemu Adam Dong-Nyl Yakura dari Kanada yang ditumpaskan pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 5-21, 12-21. Kemenangan mereka esok akan menjamin tiket ke suku akhir.
Sementara itu, kesungguhan dan semangat juang tinggi ditunjukkan Pearly Tan-M. Thinaah gagal menembusi kekebalan pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, apabila beregu wanita negara tewas 17-21, 20-22 selepas 55 minit, dalam saingan Kumpulan A.
Ia merupakan kekalahan ketujuh mereka dalam pertemuan menentang pasangan negara Tembok Besar berkenaan.
Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu perlu menang dalam perlawanan berdepan beregu nombor enam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun esok dan seterusnya beregu nombor sembilan dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, untuk mendapatkan tempat di suku akhir.
-- BERNAMA