Paralimpik Tokyo: Tugas bawa Jalur Gemilang suntik motivasi Bonnie
Bernama
Ogos 19, 2021 14:29 MYT
Ogos 19, 2021 14:29 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menyifatkan pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo satu motivasi kepadanya untuk menggegar bumi Jepun nanti.
Bonnie berkata tanggungjawab diberikan kepadanya itu adalah penghormatan besar baginya walaupun bakal membuat kemunculan pertama pada temasya sukan itu.
"Saya harap tugas membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo mampu membakar semangat saya untuk tampil sehabis baik ketika beraksi tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dianggap sebagai pencabar utama pingat kategori lelaki atas 72 kilogram (kg), Bonnie, pemegang rekod dunia itu bagaimanapun enggan memikirkan mengenai soal pingat bagi mengelakkan dirinya berada dalam keadaan tertekan ketika turun beraksi di Tokyo International Forum pada 28 Ogos ini.
Badang kerdil dari Sarawak itu juga enggan mengambil mudah tentangan sengit yang bakal dihadapi oleh atlet lain antaranya pemenang perak Rio 2016, Rasool Mohsin dari Iraq, atlet China, Hu Peng yang juga juara dunia 2017 dan Nnamdi Innocent dari Nigeria.
Beliau yang mula mewakili negara pada 2017 pada masa sama berkata persiapan akhir yang giat dijalani ketika ini berjalan dengan baik sebelum dijadual berlepas ke Tokyo Sabtu ini. Selain muncul juara, Bonnie berjaya memecahkan rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas.
Beliau melakukan angkatan bebanan 230kg, sekali gus memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan seberat 229kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Bonnie akan bergandingan dengan atlet para olahraga, Siti Nooriasah Mohamad Arifin sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Paralimpik Tokyo yang dijadual diadakan di Stadium Olimpik Tokyo.
Selain Bonnie dan Siti Nooriasah, tiga lagi atlet iaitu pemenang emas Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga); juara dunia 2019 S. Suresh (memanah) dan pemenang emas Sukan Para ASEAN 2017 Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda) akan turut serta dalam perarakan atlet di upacara pembukaan nanti.
Bonnie tidak akan keseorangan dalam sukan powerlifting apabila seorang lagi atlet, Jong Yee Khie, bakal bersaing dalam acara kategori 107kg ke atas pada 30 Ogos ini.
Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berakhir pada 5 Sept menyaksikan kontinjen negara dibarisi seramai 22 atlet yang akan bertanding dalam sembilan jenis sukan.
Berikut adalah profil Bonnie Bunyau:
Nama penuh: Bonnie Bunyau Gustin
Umur: 22 tahun
Tarikh lahir: 3 Jun 1999
Tempat lahir: Serian, Sarawak
Hobi: Bermain permainan video
Pencapaian terbaik: Juara Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di UAE dan Juara Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2021 di Bangkok, Thailand
-- BERNAMA
#atlet
#Paralimpik
#Paralimpik Tokyo
#atlet negara
#powerlifting
#Bonnie Bunyau Gustin
#pembawa bendera
#Jalur Gemilang
#temasya sukan