Paralimpik Tokyo: Suresh, Wiro perbaharui rekod musim terbaik dalam aksi pertama
Bernama
Ogos 27, 2021 22:44 MYT
Ogos 27, 2021 22:44 MYT
TOKYO: Dua pemanah negara, S. Suresh dan Wiro Julin memulakan aksi pertama di Sukan Paralimpik dengan memperbaiki catatan peribadi terbaik musim ini dalam pusingan penentuan ranking di sini, hari ini.
Suresh yang merupakan juara memanah dunia 2019, mengakhiri saingan bagi acara recurve lelaki terbuka di tangga ke-28 daripada 31 pemanah dalam saingan berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park itu.
Atlet berusia 28 tahun itu mencatat 579 mata bagi memadam rekod terdahulu iaitu 557 mata yang dicatatkan di sebuah kejohanan di Republik Czech, bulan lepas.
Sementara itu, Wiro yang beraksi dalam acara compound lelaki terbuka mencatat 673 mata bagi mengatasi rekod sebelum ini dengan 646 mata juga dalam kejohanan sama di Republik Czech.
Pemanah berusia 26 tahun itu menamatkan cabaran di tangga ke-26 daripada 36 peserta.
Wiro yang mendapat 'bye' di pusingan pertama akan berentap dengan Bair Shigaev dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia pada pusingan kedua esok manakala Suresh juga dijadual berdepan rakan senegara Bair, iaitu Bato Tsydendorzhiev pada pusingan pertama, Jumaat depan (3 Sept).
Jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya memandangkan ini adalah penampilan pertama mereka di pentas Paralimpik.
Walaupun mengakui cuaca dan angin kuat menjejaskan prestasi dilakar mereka, namun Marzuki berpendapat kedudukan ranking bukanlah jaminan untuk merangkul pingat.
"Terdapat pemanah di Sukan Olimpik yang tersingkir awal walaupun mereka menampilkan persembahan baik dalam pusingan ini.
"Saya harap atlet kita dapat menghasilkan panahan yang konsisten pada aksi kalah mati nanti," katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA