Paralimpik Tokyo 2020: Wira negara Bonnie, Yee Khie selamat tiba di tanah air
Bernama
Ogos 31, 2021 21:31 MYT
Ogos 31, 2021 21:31 MYT
SEPANG: Kepulangan dua wira negara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Kahie diberikan sambutan sederhana tapi penuh bermakna sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Kedua-dua badang powerlifting itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun pada 10.20 pagi tadi dengan pesawat Malaysia Airlines MH9117, selamat mendarat di KLIA kira-kira pukul 5.20 petang bersama-sama jurulatih kebangsaan Jamil Adam.
Sejurus keluar ke balai ketibaan, selepas melengkapkan urusan kastam, imigresen dan ujian COVID-19, mereka disambut dengan laungan 'Demi Malaysia' oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, timbalannya Datuk Seri Ti Lian Ker, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Kedua-dua pemenang pingat itu kemudian meluangkan masa beberapa minit untuk sidang media ringkas, sebelum menaiki bas ke hotel untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Kem powerlifting negara menampilkan prestasi membanggakan, apabila Bonnie yang bertanding dalam kategori lelaki 72kg menghadiahkan pingat emas pertama di Paralimpik Tokyo dengan angkatan 228 kg, yang juga merupakan rekod baharu Paralimpik, pada Sabtu lepas.
Yee Khie pula merangkul perak kategori lelaki 107kg semalam, apabila berjaya melakukan angkatan seberat 237kg di Tokyo International Forum.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang ditemui pemberita selepas itu, berharap kejayaan kedua-dua badang itu dapat membakar semangat kontinjen negara untuk mencapai lebih banyak kejayaan di temasya berkenaan.
"Bersyukur kerana dapat menyambut kepulangan Bonnie dan Yee Khie, semuanya selamat tiba dan mereka cukup bersemangat cecah kaki di bumi Malaysia pada hari Kebangsaan ke-64. Mereka buktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu berdiri tinggi di persada dunia.
"Kita nampak seorang lagi atlet kita dalam sukan boccia, Chew Wei Lun telah berjaya dalam separuh akhir, tetapi akan jumpa atlet nombor satu dunia, David Smith dari Great Britain pada final esok. Saya yakin dengan kebolehan beliau," katanya.
Terdahulu, Wei Lun mara ke final selepas menewaskan pemain ke-18 dunia Andre Ramos dari Portugal, 9-5, di peringkat separuh akhir acara individu campuran BC1 (kecacatan fizikal), sekali gus bakal mencipta sejarah sebagai atlet boccia pertama Malaysia untuk meraih pingat di Paralimpik.
-- BERNAMA