Paralimpik Tokyo 2020: Wei Lun unggul kekal rekod tanpa kalah
Bernama
Ogos 30, 2021 21:37 MYT
Ogos 30, 2021 21:37 MYT
TOKYO: Atlet boccia Chew Wei Lun melakar satu lagi keputusan sensasi, selepas memenangi perlawanan terakhir acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) peringkat kelayakan kumpulan B di Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.
Atlet yang baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-26 tahun Khamis lepas ternyata unggul, apabila menewaskan Katerina Curinova dari Republik Czech, 11-0, pada saingan yang berlangsung di Ariake Gymnastics Centre.
Pencapaian atlet yang menduduki ranking ke-11 dunia itu menyaksikan, beliau memimpin kumpulan B dan mengekalkan rekod bersih empat perlawanan tanpa kalah sejak aksi pertama Sabtu lepas, dengan menumpaskan atlet Brazil Andreza Vitoria de Oliveira, 5-2.
Wei Lun yang layak ke peringkat suku akhir, dijangka bertemu atlet ranking ke-47 dunia, Qi Zhang dari China, dalam peringkat suku akhir selepas ini.
Pertembungan di antara Wei Lun dan Qi dijadual berlangsung pukul 4 petang esok (3 petang waktu Malaysia).
-- BERNAMA