Paralimpik Tokyo 2020: 'Protes Ukraine lemah, doakan...' - Faizal Azumu
Madiha Abdullah
Ogos 31, 2021 21:12 MYT
Ogos 31, 2021 21:12 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan bantahan Malaysia berhubung pembatalan pingat emas jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, sudah dihantar kepada penganjur.
Katanya, pegawai Kontinjen Malaysia menyertakan semua bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar bilik menunggu (call room).
"Update terbaru Tokyo - Protest submitted. Termasuk semua bukti CCTV di call room dan luar call room. Doakan," katanya sebentar tadi.
Terdahulu beliau memaklumkan perbincangan sedang berjalan antara pegawai Kontinjen Malaysia dengan penganjur Sukan Paralimpik Tokyo, yang membatalkan pingat emas dimenangi Ziyad.
Beliau memberi gambaran Malaysia mungkin masih mempunyai harapan mendapatkan kembali pingat berkenaan kerana protes yang dilakukan atlet Ukraine amat lemah.
Turut serta dalam perbincangan itu ialah wakil Australia dan Ecuador, serta negara yang memprotes kemenangan tersebut iaitu Ukraine.
"KSU KBS bersama CDM berada di lapangan. Protes Ukraine terhadap tiga negara amat lemah. Ketiga-tiga sedang counter protest. Doakan," tulis Faizal.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut membidas keputusan tersebut.
Dalam satu tweet balasan di laman Twitter rasmi Paralimpik, beliau yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan, menyifatkan tindakan itu sebagai sangat memalukan.
"Ini mencemarkan reputasi dan bertentangan dengan semangat Paralimpik. Sekiranya ia berpunca daripada kelewatan memasuki bilik menunggu, anda seharusnya tidak membenarkan dia bertanding sejak awal lagi.
"Pingat emas dan rekod dunia yang dirampas," tulis Khairy.
Terdahulu, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
#Muhammad Ziyad Zolkefli
#Kementerian Belia dan Sukan
#KBS
#Paralimpik
#Malaysia
#sukan
#Khairy Jamaluddin
#Faizal Azumu