Paralimpik Tokyo 2020: Pantau situasi sesak nafas Nur Azlia Syafinaz
Astro Arena
Ogos 31, 2021 07:01 MYT
Ogos 31, 2021 07:01 MYT
PELUMBA wanita negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, bersama jurumudinya, Nurul Suhada Zainal, tidak dapat menamatkan perlumbaan ketika hanya berbaki 3km ke garisan penamat berikutan masalah penafasan.
Pelumba berusia 23 tahun itu mengalami masalah itu ketika mendaki bukit terakhir dalam ujian masa berbasikal lebuh raya wanita B, Sukan Paralimpik Tokyo 2020, petang Selasa lalu dikejarkan ke Pusat Perubatan Litar Fuji bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme, menjelaskan keadaan Nur Azlia Syafinaz kini stabil dan sudah kembali ke hostelnya di Perkampungan Sukan dengan situasinya akan dinilai lebih lanjut sebaik mereka kembali ke negara kelak dan mungkin tidak akan terlibat dalam satu lagi acara Jumaat ini.
"Besar kemungkinan Nur Azlia mengalami kepenatan fizikal dan sedikit masalah penafasan.
"Kami belum dapat rumus lagi.
"Mungkin juga beliau tidak bersedia untuk bertanding di laluan seperti itu. Banyak faktor yang mungkin akan memainkan peranan.
"Yang penting adalah keselamatan atlet. Kami akan buat satu keputusan berkenaan pertandingannya esok (Rabu).
"Kami akan tengok keadaannya terlebih dahulu," katanya.
Dia sudah pun mengadu masalah itu sejak Isnin tapi mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan negara.