Paralimpik Tokyo 2020: Nur Syaiful layak ke final 50m gaya bebas S5
Astro Arena
September 1, 2021 10:40 MYT
September 1, 2021 10:40 MYT
Perenang para negara, Nur Syaiful Zulkafli, layak ke final acara 50m gaya bebas S5, Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas menamatkan perlumbaan saringan pertama di tempat ketiga sebentar tadi.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 26 tahun itu mencatatkan masa 33.46s di Pusat Akuatik Tokyo, ketinggalan 1.65s di belakang perenang China, Tao Zheng, yang mengungguli saringan itu.
Catatan yang dilakukan Nur Syaiful itu menempatkannya selaku lima pelumba terpantas dan layak untuk beraksi dalam pusingan akhir petang ini -- hanya lapan perenang dengan catatan masa terbaik layak ke final.