Paralimpik Tokyo 2020: Malaysia cuba dapatkan rakaman CCTV sebagai bahan bukti

Hilmi Malik
September 1, 2021 15:04 MYT
Rakaman CCTV di Call Room dan sekitar Stadium Olimpik Tokyo untuk dijadikan bahan bukti insiden sebenar kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.
KUALA LUMPUR : Malaysia akan cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat situasi sebenar berhubung dakwaan atlet Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang dikatakan lewat memasuki call room.
Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, langkah itu bertujuan untuk dijadikan bahan bukti bagi tindakan lanjut yang akan dibuat selepas ini.
“Kita sedang cuba dapatkan rakaman CCTV di bilik panggilan call room dan kawasan menunggu Stadium Olimpik Tokyo untuk dapatkan gambaran dan masa sebenar insiden bagi tujuan bahan bukti, untuk teruskan tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media secara maya pada Rabu.
Dalam pada itu, pihaknya turut memberitahu, penjelasan telah dibuat kepada pihak Jawatankuasa Penganjur berhubung situasi sebenar yang berlaku terhadap Ziyad.
Mesyuarat yang turut disertai Ketua Kontinjen negara itu sebagai langkah untuk mempertahankan kemenangan yang diperoleh Ziyad menerusi acara lontar peluru lelaki F20 pada Selasa.
“Selaku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, saya berjanji akan berusaha memperjuangkan nasib jaguh lontar peluru kebangsaan kita.
“Saya telah bertemu dengan Ziyad untuk maklumkan hasil mesyuarat CDM dan dia kelihatan berlapang dada dengan keputusan tersebut,” katanya lagi.
[TERKINI] Kenyataan CDM berhubung keputusan pembatalan pingat Ziyad Zolkefli | 1 Sept 2021
Megat Shahriman dalam masa sama memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberikan ganjaran kepada Ziyad atas prestasi cemerlang di Olimpik Tokyo 2020.
Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.
Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di call room (bilik pemeriksaan).
#Paralimpik Tokyo #Ziyad Zolkefli #CCTV #pingat emas
;