Paralimpik Tokyo 2020: Kar Gee alami kecederaan, tamat saingan di tempat ke-6
Astro Awani
September 4, 2021 12:30 MYT
September 4, 2021 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee menamatkan acara lompat jauh lelaki T13 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di tempat keenam dengan catatan 5.93 meter (m).
Atlet berusia 30 tahun itu terpaksa menarik diri akibat mengalami kecederaan selepas melakukan empat lompatan.
Pada aksi sulung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Kar Gee hanya berjaya melakukan lompatan ketiganya dengan catatan 5.93m, sementara percubaan pertama dan kedua dibatalkan.
Bagaimanapun, ia merupakan rekod peribadi terbaiknya selepas kategori asal T12 disertai Kar Gee sebelum ini diubah kepada T13.
Pada acara tersebut, atlet Azerbaijan, Orkhan Aslanov berjaya meraih pingat emas dengan lompatan sejauh 7.36m, yang juga rekod baharu Asia.
Sementara, atlet Sepanyol, Ivan Jose Cano Blanco memenangi perak dengan catatan 7.04m, manakala gangsa dimiliki atlet Amerika Syarikat, Isaac Jean Paul, dengan catatan terbaik 6.93m.