Paralimpik Tokyo 2020: Emas pertama, hadiah sempena Hari Kebangsaan - Bonnie
Hilmi Malik
Ogos 28, 2021 15:12 MYT
Ogos 28, 2021 15:12 MYT
KUALA LUMPUR : Jaguh paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin yang memperoleh pingat emas pertama negara menerusi acara sukan powerlifting di kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 pagi ini menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah kepada negara sempena hari kebangsaan.
“Ini sememangnya kenangan yang manis buat saya dan juga untuk menghadiahkan sempena Hari Kebangsaan kita.
“Pingat ini memang sangat penting untuk saya memandangkan ini kemunculan pertama saya dan telah buat persembahan yang terbaik,” katanya ketika ditemu bual secara atas talian pada Sabtu.
Bonnie memecahkan rekod Paralimpik dengan 228kg sekaligus meninggalkan pencabar terdekat Mahmoud Attia dari Mesir di tempat kedua (191kg) dan Micky Yule dari Great Britain di tempat ketiga (182 kg).
Mengulas lanjut, Bonnie turut menceritakan keluarga antara pihak yang mendorong dirinya mencapai kejayaan hari ini.
“Semalam sebelum tidur ada berhubung dengan keluarga, minta nasihat dan mendoakan saya untuk berjaya dalam hari ini jadi semuanya termakbul,” katanya lagi.