Paralimpik Tokyo 2020: 'Dek Wan' raih tempat keempat acara 100 meter T36
Hasimi Muhamad
September 4, 2021 09:42 MYT
September 4, 2021 09:42 MYT
TOKYO: Atlet olahraga Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berada di kedudukan keempat dalam acara 100 meter (m) T36 (celebral palsy) di temasya Paralimpik Tokyo sebentar tadi, sekali gus terpaksa melepaskan emas yang dimenanginya di Rio de Janeiro pada 2016.
Dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Mohamad Ridzuan atau mesra dengan panggilan "Dek Wan" terpaksa akur dengan catatan 12.15 saat, meskipun pada 50 meter awal mempamerkan larian yang cukup bertenaga.
Pingat emas dimenangi pelari dari China Deng Peichen dengan catatan 11.85 saat, sementara gangsa menjadi milik atlet James Turner dari Australia dengan 12.00 saat.
Manakala pingat gangsa milik Alexis Sebastian Chaves dari Argentina dengan 12.02 saat.
Pada 2016, Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25 saat di Beijing 2008.
Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan 52 daripada 77 negara, dengan meraih satu emas dan dua perak.
Pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kg.