Paralimpik Tokyo 2020: Bonnie Bunyau realisasi impian bapanya bekas atlet powerlifting
Astro Arena
Ogos 28, 2021 05:45 MYT
Ogos 28, 2021 05:45 MYT
Kejayaan Bonnie Bunyau Gustin merangkul pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam, secara tidak langsung meneruskan hasrat bapanya, Gustin Jenang, yang tidak kesampaian apabila bergelar atlet powerlifting suatu ketika dahulu.
Atlet kelahiran Sarawak itu muncul atlet negara pertama yang menghadiahkan emas menerusi powerlifting kategori lelaki 72kg dengan memperbaharui rekod temasya, 230kg.
Gustin ini juga pernah berlatih di bawah jurulatih, Jamil Adam, ketika bergelar atlet dahulu.
"Setiap atlet memang ada keazaman untuk layak ke Paralimpik yang merupakan peringkat tertinggi.
"Saya sudah tua tidak layak ke Paralimpik, terubat rasanya apabila anak layak ke sana dan menang ke sana," kata Gustin di Nadi Weekend.
Ibunya, Evylen Gelegar, turut terharu dengan kejayaan anaknya apabila berkata: "Saya gembira, hilang kata-kata. Semoga berjaya atas segalanya."
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah pimpinan menteri baru, Datuk Seri Faizal Azumu, berjanji akan cuba memberikan ganjaran setimpal buat Bonnie termasuk mana-mana atlet para yang berjaya membawa pulang pingat dalam temasya kali ini.
"Insya-Allah saya akan berbincang dengan pihak kementerian dan kerajaan, tentunya kami akan memberi ganjaran yang baik sebab (dia telah) mengharumkan nama negara," katanya.