Paralimpik Rio: Siti Noor Radiah raih gangsa, cipta rekod baharu Sukan Para Asia
Bernama
September 15, 2016 23:49 MYT
September 15, 2016 23:49 MYT
Atlet olahraga negara, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Rio 2016 menerusi acara lompat jauh wanita T20 di Stadium Olimpik Rio, di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini.
Siti Noor Radiah berjaya melakukan lompatan sejauh 5.20m dalam percubaan ketiga, sekali gus mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.10m yang direkodkan di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Sementara itu,seorang lagi atlet Malaysia, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin menamatkan saingan di empat keempat dengan jarak 4.91m.
Pingat emas acara itu dimenangi Mikela Ristoki dari Croatia dengan jarak 5.79m manakala pemegang rekod dunia dan Paralimpik dari Poland, Karolina Kucharczyk terpaksa berpuas hati dengan jarak 5.55m untuk pingat perak.
Rekod dunia Kucharczyk dalam acara itu ialah 6.09m yang direkodkan pada Kejohanan Olahraga IPC di Lyon, Perancis pada 2013 manakala rekod Sukan Paralimpik pula ialah 6.00m pada edisi lepas di London pada 2012. -- BERNAMA