Paralimpik Rio: Masalah peralatan Yuhaizam selesai

Astro Arena
September 14, 2016 20:12 MYT
Kegagalan pelaras anak panah menyaksikan Yuhaizam terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-30 dengan mengumpul 622 mata, 10 September lalu. - Gambar fail/Bernama
Masalah peralatan tidak lagi menjadi kebimbangan buat atlet memanah Paralimpik negara, Yuhaizam Yahaya, menjelang saingan compound individu temasya Paralimpik Rio, hari ini.
Kegagalan pelaras anak panah menyaksikan Yuhaizam terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-30 dengan mengumpul 622 mata, 10 September lalu.
Ia berikutan dua panahan terakhir gagal menemui sasaran, sekali gus dia kehilangan mata penting untuk memperbaiki kedudukan.
Namun, tempoh tiga hari sebelum pertandingan digunakan sebaik mungkin Yuhaizam serta jurulatih, Marzuki Zakaria, dalam meneliti permasalahan yang menimpa peralatannya.
Ini kerana dia hanya mempunyai satu set peralatan memanah dan jika ia gagal berfungsi, penyertaan Yuhaizam akan dibatalkan.
"Semalam kami dah letak pelincir di pelaras anak panah, alhamdulillah semua berjalan lancar.
"Mungkin sebelum ini tak perasan, sekarang alat saya OK," katanya.
Kekecewaan yang menimpa atlet recurve, Hasihin Sanawi, turut menjadi pemangkin buat Yuhaizam untuk cuba melakar keputusan lebih baik di pusingan kalah mati.
Dia akan berdepan pemain Iran, Hadi Nori namun jelas Yuhaizam, Kekuatan mental untuk percaya kepada kemampuan diri sendiri lebih penting berbanding lawan.
"Kekalkan tahap persembahan.
"Ramai pakar-pakar memberi nasihat, usah kejar orang lain kerana itu kaedah terbaik."
#acara memanah #atlet negara #Paralimpik Rio #Yuhaizam Yahaya
;