Paralimpik Rio: Malaysia lakar sejarah raih dua emas

Astro Awani
September 11, 2016 09:15 MYT
Malaysia Boleh! Muhammad Ziyad harumkan nama negara di Sukan Paralimpik di Rio. Sumber foto: Nasarudin Nasimuddin
Malaysia melakar sejarah dengan memenangi dua pingat emas pada Paralimpik Rio, Brazil, dan lebih istimewa lagi satu daripada kemenangan itu mencipta rekod baharu dunia.
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mencipta sejarah negara apabila berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia dalam acara 100m T36 (celebral palsy) di Paralimpik Rio, Brazil pada Sabtu.
Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah Brazil (12.54s).
Pingat emas kedua negara diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).
Muhammad Ziyad melontar peluru sejauh 16.84 meter untuk mencipta rekod dunia dan memungut emas dalam cubaannya yang kelima dan memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.
Dimitrios Senikidis dari Greece memenangi pingat perak dengan lontaran 16.17m dan Hodgetts meraih pingat gangsa dengan lontaran 15.82m.
Malaysia pernah memenangi pingat pada paralimpik sebelum ini tetapi hanya perak dan gangsa.
#Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #Muhammad Ziyad Zolkefli #Paralimpik Rio #Rodrigo Parreira da Silva #Yang Yifei
;