Paralimpik Rio: Khairul Hazwan tamatkan saingan di tempat ke-18
Bernama
September 15, 2016 11:29 MYT
September 15, 2016 11:29 MYT
Acara berbasikal lebuh raya temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro yang membuka gelanggangnya pada Rabu di Pontal, menyaksikan pelumba basikal lebuh raya tandem, Mohd Khairul Hazwan Wahab gagal mempamerkan aksi cemerlang.
Dalam acara 30km Ujian Masa kategori B lelaki (cacat penglihatan) Mohd Khairul Hazwan, yang dibantu juru pandu Muhamad Rauf Nur Misbah mencatat masa 40 minit dan 6.96 saat, 5:31.63s di belakang pemenang pingat emas, Steve Bate dari Great Britain yang mencatat masa 34:35.33s.
Pingat perak menjadi milik Vincent Ter Schure dari Belanda dengan 34:44.16s dan gangsa menjadi milik Kieran Modra dari Australia dengan 35:09.06s.
Mohd Khairul Hazwan, yang membuat penampilan kedua dalam Sukan Paralimpik, akan turun beraksi sekali lagi pada Sabtu dalam acara lebuh raya 120km.
Malaysia adalah wakil tunggal rantau Asia dalam kategori itu di temasya Sukan Paralimpik kali ini.
Sementara itu selepas lima perlumbaan dalam acara pelayaran, Al Mustakim Matrin setakat ini berada di kedudukan ke-11 acara Single-Person Keelboat (2.4mR) B2 (kecacatan pada kedua belah tangan dan kaki) dengan mengumpul 61 mata.
Pelayar Great Britain, Helena Lucas setakat ini mendahului lain-lain peserta dengan mengumpul 27 mata dalam pertandingan yang melibatkan seramai 16 peserta (lelaki dan wanita) itu.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di Marina da Gloria pada Rabu, atlet pelayaran itu tidak berjaya menamatkan saingan perlumbaan ketiga dan dalam dua perlumbaan berikutnya di tempat ke-11 dan 10 masing-masing dengan catatan masa 52.32s dan 51.57s.
Saingan perlumbaan ketiga dan keempat yang sepatutnya berlangsung pada Selasa telah ditunda akibat keadaan cuaca yang tidak elok. -- BERNAMA