Paralimpik Rio: Khairul Hazwan sasar perbaiki catatan London 2012
Astro Arena
September 14, 2016 20:57 MYT
September 14, 2016 20:57 MYT
JURULATIH berbasikal Paralimpik negara, Sallehuddin Mohd Noh, menyasarkan Khairul Hazwan Wahab mampu memperbaiki pencapaian empat tahun lalu, menjelang acara lebuhraya yang akan bermula pada hari esok.
Khairul Hazwan akan memulakan cabaran dengan ujian masa kategori B yang membabitkan basikal seiringan bersama Rauf Nur Misbah, tengah malam ini.
Sasaran awal sudah pasti memperbaiki catatan 37 minit 20.51 saat yang dilakukannya ketika edisi 2012 London.
Tidak mahu memberikan tekanan terlalu tinggi buat Hazwan, Salehuddin yakin sasaran itu memadai buat pelumba berusia 23 tahun itu.
"Dia telah mendapatkan tempat ke-15 di 2012 London. Lebuhraya dia tidak dapat menghabiskan perlumbaan.
"Sasaran kami adalah untuk menyaingi pelumba-pelumba luar negara.
"Pelumba-pelumba lebuhraya ini merupakan kegemaran mereka. Mungkin mereka akan membuatkan yang terbaik.
Salehuddin turut yakin Hazwan sudah bersedia sebaik mungkin untuk menghadapi laluan di Pontal yang disifatkannya cukup mencabar.
Selepas lebih seminggu menjalani latihan, Salehuddin berharap Hazwan serta Rauf dapat mengenal pasti kawasan yang bakal mendatangkan kesukaran buat mereka.
"Kita telah berada di sini sejak seminggu yang lalu.
"Pasukan lebuhraya telah membuat latihan dan persiapan di tempat pertandingan selama beberapa hari.
"Mereka telah membiasakan dengan keadaan pendakian dan landai. Saya rasa mereka telah serasi dengan jalan dan cuaca di sini.