Paralimpik Rio 2016: 7 fakta yang anda perlu tahu tentang Latif Romly
Kohilah Sekaran
September 12, 2016 13:13 MYT
September 12, 2016 13:13 MYT
SEKALI lagi, lagu Negaraku berkumandang di Rio de Janeiro, Brazil.
Ia merupakan satu detik yang amat membanggakan bagi rakyat Malaysia.
Atlet Paralimpik negara, Abdul Latif Romly menghadiahkan pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik Rio semalam apabila menewaskan pesaingnya yang lain dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual).
Bukan sahaja mencatat 7.60 meter dalam lompatan kelima, atlet berusia 19 tahun itu turut memecahkan tiga rekod dunia!
Susulan itu, pengguna laman sosial menyanjung tinggi kejayaan Latif, menerusi hashtag #terbangLatifterbang.
Ucapan tahniah menggunakan hashtag tersebut membanjiri laman sosial, menyatakan rasa teruja dan bangga dengan kejayaan luar biasa Latif.
Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang wira negara ini:
1. Latif merupakan atlet yang tergolong dalam kurang upaya intelektual.
2. Berusia 19 tahun, Latif berasal dari Kampung Paya Kelubi, Perlis.
3. Tahun ini merupakan penampilan pertamanya dalam Sukan Paralimpik- beliau berjaya memecahkan rekod dunia yang dicatat oleh atlet Sepanyol, Jose Exposito (7.37m) pada tahun 2003
4. Beliau berjaya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh pada Kejohanan Sukan Para Asia 2014, ASEAN Para Games 2015, Kejohanan Dunia Olahraga IPC 2015, Paralimpiad Sukma Sarawak 2016.
5. Pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Latif berjaya menewaskan atlet normal untuk meraih pingat emas serta mencatat rekod dunia yang baharu (7.46 m).
6. Selepas mencatat lompatan yang begitu cemerlang pada Sukma 2016, Latif telah berada dalam kedudukan baik untuk melakar kejutan membawa pulang emas di Rio.
7. Menurut portal Malaysia Online Marketing, Latif berlatih di Jerman sebagai persiapan ke Sukan Paralimpik edisi tahun ini.