Paralimpik Paris 2024: S. Suresh tampil beri penjelasan tidak guna teknologi ISN

Astro Arena
September 5, 2024 10:15 MYT
Suresh menjelaskan, ISN sebenarnya menyediakan grip baru tetapi dia memilih untuk tidak menggunakannya kerana sukar menyesuaikan diri dalam waktu singkat. - Stadium Astro
S. SURESH, tampil menjelaskan sebab sebenar dia tidak menggunakan teknologi terbaru yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN) ketika tersingkir dalam pusingan kedua acara memanah recurve individu lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024 di lapang sasar memanah Les Invalides malam tadi.
Bekas juara dunia itu tersingkir selepas tewas kepada pemanah Iran, Mohamad Reza Arab Ameri, 2-6 sekali gus meletakkan sasaran empat emas kontinjen negara dalam keadaan berisiko.
Ramai yang salah faham menyangkakan ISN menyediakan busur baru buat pemanah itu dan Suresh menjelaskan, ISN sebenarnya menyediakan grip baru tetapi dia memilih untuk tidak menggunakannya kerana sukar menyesuaikan diri dalam waktu singkat.
"Sebenarnya, ISN bukanlah menyediakan busur baru buat kami, mereka menyediakan grip baru," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Grip itu ialah alat yang kami gunakan di tangan untuk meletakkan anak panah.
"Ramai di luar sana yang salah faham menyangkakan saya dapat busur baru dari ISN tetapi sebenarnya tidak, ia hanya grip.
"Apabila saya menggunakannya, dalam masa yang singkat, saya memang tidak dapat menyesuaikan diri dengan grip itu, jadi saya berbincang dengan jurulatih dan memilih untuk menggunakan yang asal.
"Sebenarnya, saya sudah melakukan semua yang jurulatih saya mahukan dan saya juga tidak menyangka lawan akan dapat memanah ke dalam kawasan kuning.
"Apabila saya dapat lakukan panahan 10, 9, 8 (mata), saya tidak jangka lawan akan melakukan 10 pada panahan terakhir.
"Saya tidak memberikan tekanan kepada diri saya kerana saya hanya mahu fokus kepada diri sendiri.
"Bagi saya, saya sudah buat yang terbaik tetapi tiada rezeki," katanya. - Stadium Astro
#Sukan Paralimpik Paris 2024 #S Suresh #ISN #grip
;