Paralimpik Paris 2024: Pengalaman Tokyo jadi taruhan Cheah Liek Hou di Paris

Sinar Harian
Ogos 29, 2024 13:33 MYT
Pemain nombor satu dunia itu akan bersaing merebut kelompok dua teratas kumpulan bagi slot separuh akhir. - Gambar fail/Bernama
JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou mempertaruhkan pengalaman Paralimpik Tokyo 2020 apabila memulakan kempen mempertahankan pingat emas di temasya Paris 2024.
Malah, Liek Hou yang beraksi dalam Kumpulan A kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) mengakui cabaran kali ini berbeza berbanding Tokyo 2020 yang terkawal berikutan COVID-19 biarpun fizikal dan mental sudah bersedia.
“Sejujurnya, saya jadikan pengalaman beraksi di Sukan Paralimpik 2020, bagi bantu kawal sebarang tekanan semasa bertarung di Paris 2024.
“Saya harap dapat momentum positif dalam perlawanan pertama kerana isu angin kuat akan menjadi cabaran sejak mula menjalani sesi latihan dalam beberapa hari lalu.
“Saya masih dalam usaha menyesuaikan diri dengan situasi tersebut dan akan ambil pendekatan memberikan yang terbaik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya pada Rabu.
Pemain nombor satu dunia itu akan bersaing merebut kelompok dua teratas kumpulan bagi slot separuh akhir dijadualkan beraksi menentang wakil Poland, Bartłomiej Mroz dalam aksi Kumpulan A SU5 Lelaki di Porte de La Chapelle Arena pada Khamis.
Mengenai cabaran Mroz, Liek Hou mengakui satu perlawanan penting bagi mendapatkan rentak permulaan yang positif untuk perlawanan seterusnya.
Seorang lagi pemain negara, Muhammad Fareez Anuar juga dijadualkan beraksi berdepan wakil Taiwan, Fang Jen-yu dalam aksi Kumpulan B. -- Sinar Harian
#jaguh badminton para negara #Cheah Liek Hou #Sukan Paralimpik Paris 2024 #pertahan pingat emas
;