Paralimpik Paris 2024: Muhammad Ziyad akur dengan perak

Bernama
September 3, 2024 05:00 MYT
Muhammad Ziyad beraksi dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) peringkat akhir Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Paris, 4 Sept 2024. --fotoBERNAMA
PARIS: Hasrat jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk merampas kembali pingat emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian semalam.
Pada aksi di Stade de France di sini, Muhammad Ziyad melakukan 17.18 meter (m) untuk menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara, selepas pulang tangan kosong pada edisi lepas.
Atlet berusia 34 tahun itu memulakan saingan lontaran pertama 16.75m, 16.66m pada percubaan kedua diikuti 17.18m yang merupakan lontaran terbaiknya pada percubaan ketiga.
Pemenang emas Rio 2016 itu cuba bangkit namun tidak berupaya memintas catatan terbaiknya dengan lontaran terakhir sejauh 16.86m.
Oleksandr Yarovyi dari Ukraine melakar kejutan apabila memecah rekod dunia sebanyak dua kali sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi miliknya.
Yarovyi melakukan catatan 17.60m pada percubaan ketiga bagi memadam rekod dunia milik rakan sepasukan dan juara bertahan, Maksym Koval iaitu 17.57m dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris.
Atlet berusia 25 tahun itu kemudiannya mengatasi rekod dunia dilakarnya beberapa minit sebelum itu, dengan melakukan lontaran 17.61m pada percubaan keempat sekali gus merampas emas daripada Koval.
Prestasi Koval pula tampak kurang menjadi apabila lontarannya dibatalkan sebanyak empat kali dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi percubaan terbaiknya 16.99m yang hadir pada lontaran kedua.
-- BERNAMA
#Muhammad Ziyad Zolkefli #Sukan Paralimpik Paris 2024 #Oleksandr Yarovyi #olahraga para