Paralimpik Paris 2024: Muhammad Nur Syaiful lolos ke final
Bernama
Ogos 30, 2024 17:02 MYT
Ogos 30, 2024 17:02 MYT
PARIS: Percubaan kedua perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli pada Sukan Paralimpik Paris 2024 tampak berbaloi apabila mara ke final 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Paris La Defense Arena, di sini, hari ini.
Muhammad Nur Syaiful menduduki tempat keempat dengan catatan 1 minit 16.82 saat (s) pada saringan kedua yang dimenangi Oleksandr Komarov dari Ukraine dengan 1:11.26s.
Keputusan diraih perenang dari Sarawak itu menyaksikan beliau berada di tempat keenam keseluruhan dari dua saringan sekali gus berada dalam kelompok lapan perenang terbaik untuk ke final.
Semalam, atlet berusia 29 tahun itu bermula goyah apabila terkandas di peringkat saringan selepas menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan menerusi catatan 2:52.67s dalam saringan 200m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), sekali gus gagal ke final.
Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dibuka secara rasmi pada Rabu akan berakhir 8 Sept ini.
-- BERNAMA