Paralimpik Paris 2024: Liek Hou terus catat kemenangan

Bernama
Ogos 31, 2024 07:00 MYT
Liek Hou ketika menentang pemain tuan rumah Meril Loquette pada Sabtu. - Foto BERNAMA
PARIS: Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou berjaya muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Suryo Nugroho pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Arena Porte de La Chapelle, Liek Hou, yang memenangi pingat emas pada edisi lepas, meneruskan prestasi cemerlangnya apabila dengan mudah mengetepikan pemain Indonesia 21-10, 21-13 dalam masa hanya 31 minit.
Pemain nombor satu dunia itu membuka kempen Paris 2024 dengan menumpaskan Mroz Bartlomiej dari Poland, 21-10, 21-6, pada Khamis.
Ini disusuli dengan kemenangan menentang pemain tuan rumah Meril Loquette 21-10, 21-16 semalam.
#Sukan Paralimpik Paris 2024 #Cheah Liek Hou #Juara #Kumpulan A
;