Paralimpik Paris 2024: Dua kali gangsa di Kejohanan Dunia bukan jaminan buat Yusof Hafizi

Bernama
Ogos 30, 2024 07:45 MYT
Jaguh berbasikal para negara itu dijangka berdepan rintangan untuk mengulangi magis pernah dilakarnya pada kejohanan dunia edisi 2022 dan 2024. - Foto BERNAMA
PARIS: Kejayaan memperoleh dua gangsa acara 1,000m ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Berbasikal Para Dunia sebelum ini tidak menjamin peluang Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin untuk menyinar pada Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.
Jaguh berbasikal para negara itu dijangka berdepan rintangan untuk mengulangi magis pernah dilakarnya pada kejohanan dunia edisi 2022 dan 2024 selepas saingan kali ini menggabungkan kelas C1 hingga C3 (kecacatan fizikal).
Catatan masa 1 minit 14.860 saat (s) pada kejohanan dunia 2022 di venue sama pada Sukan Paralimpik kali ini iaitu Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines lebih baik daripada aksi kejohanan sama di Rio de Janeiro, Brazil, Mac lepas menerusi catatan 1:15.572s.
Bagaimanapun, catatan dilakukan pelumba dari Kuala Kangsar, Perak, itu agak jauh jika dibandingkan dengan pemegang rekod dunia C1 dari China, Li Zhangyu (1:08.347s) selain jaguh dalam C2 Alexandre Leaute dari Perancis (1:08.358s) serta Briggs Devon dari New Zealand yang memegang rekod masa terpantas dunia dalam saingan C3 (1:05.529s).
Yusof Hafizi, yang terkandas di pusingan kelayakan acara 3,000 meter (m) kejar-mengejar, bakal ditemani rakan sepasukan Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam saingan 1,000m ujian masa C1-3, hari ini.
Sementara itu, kecemerlangan pemain badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar pula mencuri tumpuan aksi hari kedua kontinjen Malaysia.
Selepas mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 dalam aksi Kumpulan B pada Khamis, pemain keempat duniaitu menampilkan aksi mengagumkan dengan bangkit dari ketinggalan menumpaskan pemain ketiga terbaik dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, 14-21, 21-19, 21-19, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Turut mengikut jejak langkah beliau adalah pemenang emas edisi lepas, Cheah Liek Hou, yang mudah mengetepikan cabaran Meril Loquette dari Perancis 21-10, 21-16, dalam saingan Kumpulan A.
Dalam pada itu, antara aksi lain pada Khamis menyaksikan dua pemanah para negara G. Daneshen dan Nur Jannaton Abdul Jalil tersingkir dalam acara masing-masing di Invalides
Daneshen hampir mengejutkan pemenang emas edisi lepas di Tokyo 2020, He Zihao, dari China, 142-144, sekali gus mengakibatkan langkahnya terhenti di peringkat penyingkiran 1/16 pada acara compound individu lelaki terbuka manakala tangan kebas susulan cuaca hujan menjejaskan panahan Nur Jannaton yang terpaksa akur tewas kepada Sarita dari India, 124-138, bagi pusingan sama saingan compound individu wanita terbuka.
Perenang negara Muhammad Nur Syaiful yang beraksi dengan gugup susulan sorakan padu penonton di Paris La Defense Arena hanya menamatkan final 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan catatan masa 1:16.60s di tempat keenam.
-- BERNAMA
#Sukan Paralimpik Paris 2024 #Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin #jaguh berbasikal para
;