Paralimpik Paris 2024: Cheah Liek Hou sumbang emas pertama buat Malaysia

Astro Awani
September 2, 2024 00:03 MYT
Atlet berusia 36 tahun itu menewaskan pemain badminton Indonesia, Suryo Nugroho 'straight set' dengan 21-13, 21-15 di Porte de La Chapelle Arena - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia selepas menang pada aksi final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024, pada Isnin malam.
Atlet berusia 36 tahun itu menewaskan pemain badminton Indonesia, Suryo Nugroho 'straight set' dengan 21-13, 21-15 di Porte de La Chapelle Arena.
Ia sekali gus mengulangi pencapaiannya semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Dalam aksi penuh bertenaga itu, pemain perseorangan lelaki SU5 nombor satu dunia itu tidak berdepan kesukaran untuk menundukkan Suryo.
Liek Hou mara ke final selepas menang mudah ke atas pemain Indonesia, Dheva Antrimusthi 21-17,21-17 pada aksi separuh akhir.
Sementara itu, seorang lagi jaguh badminton para negara Muhammad Fareez Anuar tidak berhasil menghadiahkan pingat selepas tewas dalam aksi perebutan pingat gangsa dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), sebentar tadi.
Fareez yang membuat penampilan sulung di pentas temasya sukan terbesar dunia itu tumpas kepada pemain Indonesia Dheva Anrimusthi 21-17, 19-21, dan 12-21.
#Sukan Paralimpik Paris #Cheah Liek Hou #pingat emas #perseorangan lelaki
;