Paralimpik Paris 2024: Angkatan Bonnie harapan emas kedua Malaysia
Bernama
September 5, 2024 07:45 MYT
September 5, 2024 07:45 MYT
PARIS: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang akan turun dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki di Porte de La Chapelle Arena hari ini bakal menjadi sandaran emas kedua kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pasukan negara juga pastinya mengharapkan Porte de La Chappelle terus 'bertuah' buat mereka selepas jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyumbang emas sulung dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Isnin lepas di venue tersebut,
Di atas kertas, badang kerdil dari Sarawak itu berpotensi besar untuk mempertahankan emas dimenanginya ketika membuat penampilan pertama Sukan Paralimpik bagi edisi 2020 di Tokyo.
Reputasi sebagai pemegang rekod dunia iaitu 231 kilogram (kg) dan temasya 228kg meletakkan atlet berusia 25 tahun itu sebagai pilihan utama untuk 'menggegarkan' acara powerlifting di sini.
Bukan itu sahaja, jurang angkatan Bonnie juga agak jauh jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya Donato Telesca dari Itali yang merekodkan angkatan terbaik 216kg.
Dalam pada itu, perenang para negara Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan yang akan beraksi dalam acara 100m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) berpeluang mencipta sensasi pada penyertaan sulungnya di pentas Paralimpik di sini.
Selepas tular gara-gara wajahnya mirip pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Imaan Aiman yang gemar bergaya perlu menunjukkan kesungguhannya dan mencapai kecemerlangan di Paris.
Beliau dijadualkan turun beraksi pada saringan ketiga pada 10.37 pagi (4.37 petang waktu Malaysia) di Paris La Defense Arena.
Hanya lapan perenang terbaik daripada tiga saringan layak ke final.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mengakhiri kempen keduanya di Sukan Paralimpik dengan menduduki tempat ketujuh menerusi catatan 34.34s
Nur Syaiful yang beraksi dalam dua final sebelum ini menduduki tempat keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 dengan catatan 1 minit 16.60 saat (s) dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) menerusi catatan masa 1:46.71s.
-- BERNAMA