Paralimpik 2020: Ziyad Zolkefli, Wei Lun tiba di tanah air esok
Faris Danial Razi
September 2, 2021 22:06 MYT
September 2, 2021 22:06 MYT
KUALA LUMPUR: Kepulangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkelfi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat pastinya menjadi tumpuan susulan kontroversi pingat emas yang berlaku sebelum ini.
Jaguh lontar peluru negara F20 itu dijadual tiba di KLIA pada pukul 5.30 petang esok dan bakal disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal sebelum ini memaklumkan bahawa beliau secara peribadi akan menyambut kepulangan Ziyad Zolkefli dan akan tetap disambut sebagai seorang wira kebanggaan negara.
Turut bersama dengan Ziyad adalah pemenang pingat perak, Chew Wei Lun yang merangkul pingat kedua perak negara menerusi acara individu BC1 pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Pada Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Ziyad Zolkefli dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.
Pembatalan pingat emas Muhammad Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.
Mengulas lanjut, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin menghormati tindakan Ukraine kerana mereka mempunyai hak untuk membuat protes berhubung keputusan acara lontar peluru itu, seperti dibenarkan dalam peraturan pertandingan sukan.
Beliau juga merayu semua rakyat Malaysia agar melupakan insiden berkenaan dan kembali fokus serta bersatu memberi sokongan kepada perjuangan atlet negara dalam misi mereka mencapai sasaran membawa pulang tiga emas dari Jepun.