Paralimpik 2016: Wira negara selamat tiba
Bernama
September 22, 2016 17:23 MYT
September 22, 2016 17:23 MYT
Suasana di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi bergema dengan sorakan peminat sukan tanah air apabila menerima ketibaan wira dan wirawati paralimpik negara yang pulang dari temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil hari ini.
Kontinjen negara terdiri daripada 21 atlet yang diketuai ketua kontinjen Dr Ang Kean Koo disambut dengan 'water salute' sejurus pesawat EK0346 dari Dubai yang dinaiki mereka selamat mendarat di KLIA kira-kira 3.14 petang.
Kumpulan atlet paralimpik negara itu kemudian dibawa menaiki dua bas khas dengan diiringi lima kenderaan membawa Jalur Gemilang menuju ke Kompleks Bunga Raya.
Tiga pemenang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20, turut berada di dalam pesawat berkenaan.
Ketibaan kontinjen disambut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM SM Nasaruddin SM Nasimuddin sebelum dibawa ke pentas utama Kompleks Bunga Raya untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Anggota keluarga Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif turut hadir dari Perlis dengan menaiki bas yang disewa khas, juga disertai anggota keluarga Siti Radiah dari Segamat, Johor dan anggota keluarga Muhammad Ziyad dari Gombak.
Suasana riuh rendah dan meriah di Kompleks Bunga Raya kemudiannya berubah menjadi sayu sebaik sahaja ibu bapa dan anggota keluarga kepada pemenang pingat negara kelihatan menangis sambil memeluk anak-anak 'luar biasa' mereka.
Terdahulu, lobi Kompleks Bunga Raya dipenuhi kira-kira 1,000 peminat dan anggota keluarga serta atlet pelapis sejak 12 tengah hari yang tidak sabar menunggu kepulangan wira dan wirawati negara itu.
Suasana di Kompleks Bunga Raya riuh rendah dengan sorakan peminat serta nyanyian lagu-lagu patriotik dan Negaraku sementara menunggu ketibaan pesawat yang membawa atlet negara.
Selain itu, pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Rio, Mohd Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong turut bersama-sama menyambut ketibaan rakan atlet mereka.
Kontinjen negara kemudiannya akan dibawa berarak sekitar ibu kota Kuala Lumpur dengan menaiki bas hop-on-hop-off sejurus selesai sambutan di Kompleks Bunga Raya dan dibawa ke Dewan Filharmonik, KLCC, Pavillion sebelum berakhir di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan.
Kontinjen paralimpik negara meraih pencapaian terbaik pada penampilan di Rio kali ini dengan pencapaian tiga pingat emas dan satu gangsa, sekali gus menamatkan cabaran di temasya berprestij itu pada kedudukan ke-36.
Untuk rekod, Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman dengan hanya melibatkan tiga atlet sahaja, namun untuk tiga temasya berikutnya tiada atlet negara yang terlibat.
Kontinjen negara kembali menyertai temasya itu pada 1988 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting yang meraih pingat gangsa.
Pada temasya di Barcelona 1992, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan pingat dengan satu pingat perak melalui Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan (powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (olahraga).
Pada edisi ke-13 di Beijing, China pada 2008, atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah negara dengan muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu. Pingat gangsa itu adalah satu-satunya pingat kontinjen Malaysia di Beijing.
Di London pada 2012, kontinjen negara meraih satu pingat perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara memanah recurve dan satu pingat gangsa melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam olahraga (lontar peluru). -- BERNAMA