Para SUKMA: Sarawak sasar 83 pingat emas - Abang Johari

Bernama
September 11, 2024 07:45 MYT
Abang Johari (tengah) melaungkan kata-kata semangat semasa majlis penyerahan bendera Sarawak kepada Ketua Kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Mohd Razi Sitam (empat, kanan) di Kuching semalam. --fotoBERNAMA
KUCHING: Sarawak menyasarkan 83 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara kali ke-14 pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 Sept ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau yakin atlet para mampu mempamerkan prestasi yang baik setelah menjalani latihan di luar negara sebelum menghadapi Para SUKMA ke-21 kali ini.
Beliau berkata itu menunjukkan dedikasi, komitmen dan kerja keras atlet para yang sanggup mengorbanan masa dan kerja mereka bagi menjalani latihan yang intensif.
"Kita mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, sebab itu saya menekankan soal sukan kerana sukan membawa kepada satu faktor penting iaitu disiplin. Kalau anak Sarawak berdisiplin semua, maka prestasi akan meningkat, begitu juga pembangunan sukan.
"Saya dengan rakan-rakan memang berusaha untuk beri latihan cukup kepada atlet para SUKMA, walaupun ke Afrika Selatan sekalipun kerana kita yakin dengan potensi para atlet ... kalau (atlet paralimpik) Bonnie (Bunyau) boleh, kamu semua pun boleh," katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen Para SUKMA Sarawak di sini, semalam.
Abang Johari turut memaklumkan akan menyediakan insentif RM15,000 kepada para atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas, manakala pemenang pingat perak akan menerima RM5,000 manakala gangsa (RM3,000).
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata temasya kali ini disertai oleh seramai 1,290 atlet para yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet para wanita.
Katanya daripada jumlah tersebut, 213 orang atlet adalah atlet para Sarawak yang terdiri daripada 143 atlet para lelaki dan 70 atlet para wanita.
Menurutnya dengan kekuatan kontinjen Sarawak seramai 213 orang, beliau yakin sasaran 83 pingat emas dapat dicapai.
-- BERNAMA
#Para SUKMA #pingat emas #pembangunan sukan #Abang Johari Tun Openg
;