Para SUKMA Sarawak 2024: Selangor sasar 29 pingat emas, tempat ketiga keseluruhan

Bernama
September 13, 2024 05:45 MYT
Mohd Najwan berkata, harapan itu akan digalas oleh 104 atlet yang akan beraksi dibantu seramai 56 jurulatih, pengurusan dan pegawai pengiring. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kontinjen Selangor menyasarkan 29 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada 22 hingga 28 Sept ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata Selangor akan mengambil bahagian dalam semua 10 acara yang dipertandingkan antaranya badminton, renang, memanah, ping pong dan powerlifting dengan setiap daripadanya berpotensi menyumbang emas.
Katanya harapan itu akan digalas oleh 104 atlet yang akan beraksi dibantu seramai 56 jurulatih, pengurusan dan pegawai pengiring.
"Dengan semangat dan aspirasi Selangor bakal tuan rumah SUKMA pada 2026, saya yakin anda semua akan buktikan atlet kita juga tidak kurang hebatnya dari negeri lain.
"Pastikan bendera Selangor berkibar megah di Sarawak dengan kita mencatat pencapaian lebih baik berbanding edisi sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen para SUKMA negeri Selangor di sini yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Selangor Amrol Ambia pada Jumaat.
Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan untuk berada di kedudukan tiga teratas dengan kutipan keseluruhan 82 pingat merangkumi 29 emas, 24 perak dan 29 gangsa, sekali gus memperbaiki kedudukan keempat yang dicapai pada edisi Para SUKMA 2022.
Berhubung insentif kepada penyumbang pingat, Mohd Najwan yang juga Ketua Kontinjen berkata beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada mesyuarat exco yang akan datang.
"Insya-Allah saya akan usulkan supaya kerajaan negeri memberi insentif dengan jumlah yang sama sebagaimana yang diberikan kepada atlet SUKMA di Sarawak sebelum ini," katanya.
Pada temasya tersebut, kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada atlet sukan individu yang meraih pingat emas, RM5,000 seorang untuk acara berpasukan bawah lima orang dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih lima orang.
-- BERNAMA
#keusahawanan #Para SUKMA #pingat emas #acara berpasukan
;