Para SUKMA: Chi Hui pecah dua rekod kebangsaan acara memanah

Bernama
September 23, 2024 23:15 MYT
Aksi atlet para memanah kontinjen Pahang, Loh Chi Hui ketika acara Para Memanah Individu Recurve W2/ST pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024, hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Atlet memanah recurve wanita Pahang Loh Chi Hui melepasi sasaran peribadi dan jurulatih apabila memecahkan dua rekod kebangsaan untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini hari ini.
Atlet berkerusi roda berusia 34 tahun itu mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 70 meter recurve individu wanita pada pusingan kelayakan selepas mengumpul keseluruhan 574 mata, jauh melepasi catatan 504 mata yang dilakukan Nor Sa'adah Abdul Wahab pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2013 di Bangkok.
Chi Hui sekali lagi mencipta kejayaan sensasi apabila kombinasinya bersama Ahmad Jaffri Jamaluddin bagi berpasukan campuran recurve mencatat 1,153 mata secara keseluruhan untuk memadam rekod terdahulu dipegang bekas juara dunia 2019 S. Suresh dan Jennyla Kueh (1,093 mata) pada Kejohanan Memanah Para Asia (AAPC) 2019 di Bangkok.
Bercakap kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah, Chi Hui mengakui gembira dengan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan setelah melibatkan diri dalam dalam sukan memanah kira-kira enam tahun lepas.
"Saya terlibat dalam kemalangan motosikal semasa balik dari sekolah semasa tingkatan tiga, menyebabkan pinggang patah dan lumpuh dari pinggang ke bawah. Ketika itu saya sangat sedih dan tak nampak masa depan.
"Apabila saya melihat ada lagi orang yang lebih teruk dan mampu berdikari, saya memperoleh kekuatan diri untuk mencari tujuan hidup. Saya sangat gembira dengan pencapaian hari ini," katanya.
Atlet Kedah, K. Thilagavathy (464 mata) dan Jaynie Jamirin (407 mata) dari Sabah masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa dalam acara 70 meter recurve individu wanita.
Dalam acara lelaki, Muhammad Azaruddin Mat (602 mata) dari Terengganu memenangi emas manakala Nurfaizal Hamzah dari Kuala Lumpur (599 mata) dan Ahmad Jaffri masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
-- BERNAMA
#Para SUKMA #memanah recurve wanita #Loh Chi Hui #Pahang #pecah rekod kebangsaan
;