Para SUKMA 2024: Kontinjen Perak sasar 28 pingat emas
Bernama
September 20, 2024 22:43 MYT
September 20, 2024 22:43 MYT
IPOH: Kontinjen Perak menyasarkan 28 pingat emas dengan kedudukan tiga teratas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kontinjen Perak seramai 174 orang merangkumi 93 atlet, 42 orang pengurusan pasukan dan 39 pegawai kontinjen akan menyertai sembilan daripada 10 acara sukan dipertandingkan.
Acara yang akan disertai atlet ialah boccia, memanah, olahraga, badminton, ping pong, boling padang, tenpin boling, powerlifting dan catur.
Menurut Khairudin, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi persiapan dan pengelolaan kontinjen negeri Perak yang dikawal selia oleh Majlis Sukan Negeri (MSN).
"Jumlah itu termasuklah insentif pemenang pingat emas RM5,000, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menerima RM3,000 dan RM1,000 iaitu jumlah sama yang diberikan kepada atlet SUKMA baru-baru ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairudin berkata kerajaan negeri juga mengumumkan pemberian tambahan insentif kemenangan secara one-off bagi atlet yang berjaya memperoleh pingat pada temasya kali ini.
Beliau berkata bagi acara individu, atlet yang meraih pingat emas akan menerima RM300, manakala RM200 (perak) dan RM100 (gangsa), sementara bagi atlet berpasukan, mereka yang menyumbang emas akan menerima RM150, RM100 pula untuk perak dan RM50 (gangsa).
"Selain itu, kerajaan negeri juga turut berbesar hati memberikan tambahan belanja poket tunai secara one-off kepada atlet berjumlah RM400 setiap seorang dan pengurusan pasukan berjumlah RM800 setiap seorang bagi memotivasikan mereka sepanjang berada di bumi Sarawak nanti," katanya.
Pada edisi Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Kontinjen Perak berada pada kedudukan kelima dengan pungutan 25 pingat emas, 15 perak dan 14 gangsa.
-- BERNAMA