Para SUKMA 2024: Jadikan kejayaan Bonnie sebagai pembakar semangat

Bernama
September 20, 2024 05:15 MYT
Fatimah berkata, kejayaan Bonnie memenangi pingat emas baru-baru ini membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu menempa nama di persada antarabangsa. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kejayaan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin di Sukan Paralimpik Paris 2024 perlu dijadikan pembakar semangat bagi atlet yang bertanding pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak dari 22 hingga 28 Sept ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kejayaan Bonnie memenangi pingat emas baru-baru ini membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu menempa nama di persada antarabangsa.
"Bonnie telah membuktikan bahawa di sebalik ketidakupayaan beliau, ada kelebihan dan kehebatan yang mampu ditunjukkan.
"Oleh itu, jadikan kejayaan Bonnie ini sebagai inspirasi kepada semua. Jika Bonnie boleh, anda juga boleh melakukannya," katanya semasa berucap pada majlis perasmian perkampungan sukan Para SUKMA 2024, di sini, pada Jumaat.
Sebanyak 19 perkampungan sukan dan tempat penginapan telah disediakan untuk temasya kali ini.
Sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur membabitkan 328 acara.
Seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet wanita pula terlibat dalam temasya kali ini, dengan Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita. - BERNAMA
#OKU #Para SUKMA #Bonnie Bunyau Gustin #pembakar semangat #jaguh powerlifting negara
;