Para Asia: Permulaan positif Liek Hou buru emas

Bernama
Oktober 21, 2023 07:36 MYT
Liek Hou yang disandarkan bagi memenangi pingat emas buat kontinjen negara akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan berdepan pemain Filipina, Antonio dela Cruz Junior. - Gambar fail/BERNAMA
HANGZHOU: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou memulakan misi untuk merampas kembali pingat emas dalam acara perseorangan SU5 dengan langkah kanan apabila mudah melepasi perlawanan pertama di Sukan Para Asia 2022, di sini, semalam.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu mengalahkan wakil tuan rumah, Shi Sheng Zhuo 21-10, 21-7 pada perlawanan Kumpulan A di Gimnasium Binjang.
Liek Hou memenang pingat emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan merangkul gangsa pada edisi selepas itu di Indonesia pada 2018.
Beliau yang disandarkan bagi memenangi pingat emas buat kontinjen negara akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan berdepan pemain Filipina, Antonio dela Cruz Junior sekali gus menentukan juara kumpulan.
"Hari ini saya masih mencari rentak permainan dan harap-harap dapat menunjukkan prestasi lebih bagus selepas ini.
"Saya tidak mahu memikirkan soal kemenangan sangat kerana tidak mahu ia beri tekanan," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), pemain negara Mohamad Faris Ahmad Azri tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan H kepada pemain ranking keenam dunia dari Jepun, Taiyo Imai 14-21,8-21.
Mohamad Faris akan berdepan wakil Thailand, Pricha Somsiri pada perlawanan peringkat kumpulan seterusnya.
Dalam pada itu, bagi acara lelaki perseorangan WH1 (kecacatan fizikal), Muhammad Ikhwan Ramli berjaya melakar kemenangan menerusi aksi pertamanya dalam saingan Kumpulan B dengan menumbangkan wakil Korea Selatan, Lee Samseop 21-15, 21-16.
Muhammad Ikhwan dijadual bertemu wakil tuan rumah, Qi Zi Mo pada Isnin ini
-- BERNAMA
#badminton #Cheah Liek Hou #Sukan Para Asia 2022 #Muhammad Ikhwan Ramli
;