Para Asia 2018: Ridzuan Puzi dan Latiff Romly cipta rekod baharu dunia
Bernama
Oktober 9, 2018 04:00 MYT
Oktober 9, 2018 04:00 MYT
Dua atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mempamerkan aksi cemerlang dengan mencipta rekod baharu dunia dalam acara masing-masing pada hari kedua acara olahraga Sukan Para Asia 2018 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini pada Selasa.
Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.
Abdul Latif turut mempamerkan aksi memukau dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).
Anak jati Perlis itu melakukan lompatan sejauh 7.64 meter, sekali gus memadamkan rekod terdahulu miliknya, 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.
Mohamad Ridzuan yang ditemui pemberita Malaysia selepas acara berkenaan nyata berbangga dapat memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.
"Dik Wan nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara serta ibu bapa Dik Wan yang banyak beri sokongan dan kemenangan ini untuk mereka semua," katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Abdul Latif yang tidak menyangka dapat memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara berkenaan memandangkan beliau menerima saingan sengit daripada peserta lain.
"Syukur, Alhamdulillah dan ini di luar jangkaan, namun saya gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas dan perbaharui rekod dunia milik saya sendiri," kata anak jati Perlis itu.
-- BERNAMA
#Abdul Latif Romly
#cerebral palsy
#Indonesia
#Jakarta
#Malaysia
#Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
#sukan
#Sukan Para Asia 2018
#Sukan Paralimpik Rio 2016