Pang Ron-Mei Xing sasar ranking 30 terbaik
Bernama
Jun 13, 2023 22:57 MYT
Jun 13, 2023 22:57 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 minggu lepas, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menyasarkan untuk menduduki ranking 30 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.
Mei Xing berkata penting bagi gandingan itu, yang kini nombor 49 dunia, untuk berada pada kedudukan 30 teratas supaya mereka dapat bermain di kejohanan lebih besar seperti acara Super 500 dan ke atas.
Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kejayaan menentang pasangan Amerika, Vinson Chiu-Jennie Gai, 21-13, 21-18, pada pusingan akhir di Kompleks Sukan Male itu sebagai tepat pada masanya dan telah meningkatkan keyakinan mereka selepas mencatatkan beberapa keputusan buruk dalam kejohanan disertai.
"Kami kini lebih saling memahami, namun masih perlu lebih banyak latihan supaya lebih konsisten untuk menentang beregu lebih kuat," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Sejak muncul naib johan pada Cabaran Antarabangsa Iran, Februari lepas, Pang Ron-Mei Xing, yang mula bergandingan Disember lepas, mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan dengan tersingkir pada pusingan awal empat acara Jelajah Dunia, sebelum muncul juara di Maldives.
Bukan hanya mengekalkan tahap konsisten, Pang Ron berkata mereka juga perlu tampil dengan pelbagai strategi perlawanan untuk mengatasi taktik lawan ketika di gelanggang.
"Kami tak boleh gunakan satu jenis strategi sahaja, kami perlu ada pelbagai strategi. Maksudnya kami boleh tukar strategi segera untuk disesuaikan dengan cara lawan bermain," katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata jurulatih mereka Nova Widianto juga menuntut mereka untuk mengekalkan keyakinan dan momentum dalam kejohanan selepas ini.
Pada tugasan di Terbuka Taiwan 2023 minggu depan, beliau berkata mereka akan mencuba yang terbaik khususnya pada pusingan pertama bertemu satu lagi beregu negara Lee Fang Chih-Sun Wen Pei.
Terbuka Taiwan yang merupakan sebahagian acara Super 300 akan berlangsung di Tian-Mu Arena, University of Taipei, dari 20-25 Jun.
-- BERNAMA