Pang Ron harap tahun penuh warna-warni bersama gandingan baharu Mei Xing
Bernama
Januari 1, 2023 05:15 MYT
Januari 1, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara Hoo Pang Ron berharap agar 2023 menjadi tahun yang penuh warna-warni buatnya bersama gandingan baharu Teoh Mei Xing, yang menyasarkan kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Atlet berusia 24 tahun itu bagaimanapun mengakui tugas itu bukanlah mudah, selepas terpaksa menukar gandingan dua kali pada 2022, selain perlu menyesuaikan diri dengan rejim latihan baharu di bawah kendalian bekas pemenang pingat perak Olimpik Nova Widianto.
Pang Ron berkata antara cabaran utama ialah mewujudkan gabungan terbaik dengan Mei Xing yang sebelum ini bermain dalam beregu wanita.
"Beliau sudah lama tidak beraksi dalam beregu campuran, jadi perlu lebih banyak masa untuk berlatih serta memperbaiki dan menambah kemahiran selain menyesuaikan diri dengan corak permainan beregu campuran bagi mengukuhkan gandingan ini. Bagaimanapun, keadaan semakin baik kerana kami telah mula meningkatkan sesi latihan.
"Masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi diharapkan kami dapat beraksi dalam Terbuka Malaysia bulan ini. Selepas kejohanan dalam negara, kami akan menganalisis perlawanan, cari kelemahan dan berusaha untuk memperbaikinya sebelum kejohanan seterusnya, dan proses itu berterusan," katanya ketika ditemui.
Pang Ron memulakan aksi bersama Cheah Yee Seah untuk memenangi pingat perak Sukan SEA Hanoi pada Mei lepas sebelum menamatkan gandingan empat tahun mereka dan dipasangkan dengan Toh Ee Wei ketika saingan Masters Indonesia pada Jun.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kemudian membuat satu lagi rombakan apabila Pang Ron digandingkan pula bersama Mei Xing pada hujung 2022.
Pang Ron-Mei Xing yang kini menduduki ranking ke-159 dunia, memulakan aksi mereka dengan mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada 7 hingga 11 Dis, sebelum memperoleh keyakinan diri apabila menjuarai gelaran Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak dari 13 hingga 18 Dis lepas.
Sementara itu, Pang Ron gembira berada di bawah kendalian Nova yang juga juara dunia dua kali, yang dilantik sebagai jurulatih beregu campuran badminton negara bulan lepas.
"Beliau seorang legenda, kami selesa dengan gaya kejurulatihannya. Beliau tegas ketika latihan tetapi selepas itu kita boleh ketawa dan makan bersama-sama," katanya.
Pang Ron-Mei Xing akan memulakan musim 2023 menentang pasangan nombor 13 dunia Kyohei Yamashita-Naru Shinoya dari Jepun pada pusingan pertama Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 15 Jan di Axiata Arena, sebelum ke Terbuka India pada 17 hingga 22 Jan.
-- BERNAMA