Panel penasihat BAM terkilan tidak dirujuk Misbun Sidek undur diri
Astro Arena
Julai 31, 2023 08:10 MYT
Julai 31, 2023 08:10 MYT
SEBAGAI salah seorang panel penasihat teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Roslin Hashim, terkilan kerana tiada rujukan daripada badan induk itu berikutan penamatan kontrak secara persetujuan bersama dengan Pengarah Pembangunan Remaja, Datuk Misbun Sidek, kelmarin.
Tegasnya, tujuh orang panel penasihat BAM yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Cheah Soon Kit, Datuk Jalani Sidek, Tan Boon Heong, Koo Kien keat dan Ong Ewe Hock tidak dirujuk terlebih dahulu, malah mereka hanya mengetahui keputusan telah diambil BAM.
Ketetapan yang diambil itu disifatkan sebagai terburu-buru selepas figura tersebut hanya mengambil alih posisi berkenaan sejak 2020 ketika dunia masih lagi dilanda pandemik COVID-19.
"Kami ingin tahu juga apakah fungsi kami sebagai penasihat panel teknikal BAM kerana kami hanya menghadiri (mesyuarat) sekali sahaja iaitu sempena Piala Sudirman, Mac lalu.
"Seharusnya fungsi kami ini ialah (BAM) mendengar jugalah pandangan daripada panel pansihat jadi saya rasa agak terkilan," katanya.
Bahkan, jika ia hanya berdasarkan keputusan dalam Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu dan Kejohanan Remaja Asia 2023, ia masih bersifat berat sebelah.
"Saya lihat Kejohanan Remaja Dunia akan diadakan bulan depan tetapi mereka seharusnya tidak (melepaskan Misbun).
"Tetapi kalau itulah keputusan terbaik, benda dah diputuskan tetapi ia sekadar berlandaskan dua kejohanan ini, jadi tidak adil kerana berdasarkan pencapaian kita di peringkat individu dunia memang banyak sebenarnya," katanya lagi. - Stadium Astro