Pandelela-Tze Liang tamat saingan di tempat kelima acara berpasukan
Bernama
Jun 30, 2022 12:10 MYT
Jun 30, 2022 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Ooi Tze Liang hanya mampu menduduki tempat kelima dalam acara 3 meter (m) dan 10m berpasukan campuran pada Kejohanan Dunia 2022, lewat malam tadi.
Acara yang merupakan gabungan platform 10m dan papan anjal 3m itu menyaksikan Pandelela-Tze Liang mengumpul 350.25 mata di Arena Duna di Budapest, Hungary.
Penerjun China memenangi acara itu apabila juara Olimpik dan dunia Quan Hongchan dan rakan Bai Yuming mengumpul 391.40 mata secara keseluruhan untuk meraih pingat emas ke-100 China dalam Kejohanan Dunia itu.
Pasangan Perancis Alexis Janard-Jade Gillet (358.50) dan penerjun Great Britain, Andrea Spendolini Sirieix-James Heatly (357.60), masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Dalam acara 3m papan anjal campuran kemudiannya, Muhammad Syafiq Puteh-Ng Yan Yee berakhir di tempat ketujuh dengan 275.46 mata.
China sekali lagi mengungguli podium menerusi Lin Shan-Zhu Zifeng (324.15), diikuti oleh penerjun Itali Chiara Pellacani-Matteo Santoro (293.55) dan James Heatly-Grace Reid (287.61).
-- BERNAMA