Pandelela tidak patah semangat, mahu terus beraksi di Paris

Bernama
Ogos 5, 2021 17:37 MYT
"Ya, saya akan bertanding pada Olimpik akan datang. Saya tidak akan berputus asa kerana ini bukan Olimpik terakhir saya," ujar Pandelela. - Gambar fail
TOKYO: Keputusan mengecewakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak mematahkan semangat Pandelela Rinong, sebaliknya ratu terjun negara itu bertekad untuk terus beraksi pada temasya edisi Paris 2024.
Penerjun berusia 28 tahun itu yang membuat penampilan keempat pada temasya Olimpik berkata, beliau akan berusaha memperbaiki prestasinya pada kejohanan akan datang, sekali gus dapat melayakkan diri bersaing pada temasya sukan berprestij itu di Paris.
"Ya, saya akan bertanding pada Olimpik akan datang. Saya tidak akan berputus asa kerana ini bukan Olimpik terakhir saya. Saya nak berusaha lagi untuk layak bertanding di Paris," kata penerjun kelahiran Sarawak itu.
Pada aksi final di Pusat Akuatik Tokyo petang ini, Pandelela mempamerkan aksi mengecewakan sekali gus menamatkan saingan acara 10 meter platform wanita individu di kedudukan terakhir daripada 12 peserta.
Terjunan kurang kemas pada pusingan pertama menyaksikan Pandelela hanya meraih 18 mata, sebelum bangkit menampilkan aksi memuaskan dengan mengumpul 71.05 mata pada terjunan kedua.
Namun, pada pusingan ketiga beliau hanya memperoleh 60.80 mata, diikuti 52.80 mata (terjunan keempat) dan menamatkan cabaran dengan mengutip 43.20 mata di terjunan kelima.
Pandelela yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu di Olimpik London 2012, secara keseluruhan mengumpul 245.85 mata selepas lima terjunan dan berada di kedudukan terakhir daripada 12 peserta di pentas akhir.
Pingat emas dimenangi penerjun China Quan Hongchan yang mengumpul 466 mata, manakala rakan senegaranya Chen Yuxi meraih perak (425.40 mata), sementara pingat gangsa milik penerjun Australia Melissa Wu yang mengutip 371.40 mata.
Pandelela berkata, beliau kecewa dengan keputusan diraih pada temasya kali ini, namun banyak pengajaran dan pengalaman yang diperoleh bagi memperbaiki dirinya, bagi menghadapi kejohanan akan datang.
"Semasa terjunan pertama, saya tidak sangka perkara itu boleh berlaku... ketika hendak membuat terjunan saya tergelincir menyebabkan momentum saya lari (tidak teratur).
"Memang terkejut dan saya cuba kawal terjunan, namun nak buat macam mana, apa pun saya reda dengan keputusan hari ini," katanya.
Pandelela berkata beliau cuba bangkit pada terjunan kedua dan seterusnya, namun gagal memperoleh mata yang banyak.
"Selepas terjunan pertama itu, saya cuba mengejar (mata berbanding) penerjun lain tetapi tidak berjaya. Saya memang tidak bernasib baik pada Olimpik kali, dan bukan rezeki saya kali ini," katanya.
-- BERNAMA
#Pandelela Rinong #ratu terjun #Atlet Terjun #Olimpik Tokyo #Tokyo 2020 #acara terjun #Paris
;